Pahala Si Tukang Azan

MENURUT pendapat jumhur ulama, ada beberapa adab dan tertib dalam melaksanakan azan.

Antaranya: - Mu’azzin hendaklah tidak menerima upah apabila melaksanakan tugasnya. - Mu’azzin harus suci daripada hadas kecil dan besar serta najis. - Mu’azzin hendaklah menghadap kiblat ketika mengumandangkan azan.

# Ketika membaca “hayya `ala as-salah”, mu’azzin hendaklah menghadapkan muka dan dadanya ke sebelah kanan dan ketika membaca “hayya `ala al-falah” menghadapkan muka dan dadanya ke sebelah kiri.

# Mu’azzin memasukkan dua anak jarinya ke dalam kedua-dua telinganya.

# Suara mu’azzin hendaklah nyaring.

# Mu’azzin tidak boleh bercakap ketika mengumandangkan azan. Orang yang mendengar azan hendaklah menyahutnya secara perlahan dengan lafaz yang diucapkan oleh mu’azzin, kecuali pada lafaz “hayya `ala as-salah” dan “hayya `ala al-falah”. Kedua-duanya disahut dengan “la haula wala quwwata illa bi Allah” yang bermaksud “tiada daya dan kekuatan kecuali daripada Allah”.

# Selesai azan, mu’azzin dan yang mendengar azan hendaklah berdoa: “Allahumma rabba hazihi ad-da`wah at-tammah wa as-salati al-qa’imah, ati Muhammadan al-wasilah wa al-fadhilah wab`athhu maqaman mahmudan allzi wa`adtah” yang bermaksudwahai Allah, Tuhan yang menguasai seruan yang sempurna ini dan solat yang sedang didirikan, berikanlah kepada Nabi Muhammad kurnia dan keutamaan serta kedudukan yang terpuji yang telah Engkau janjikan untuknya.” (Riwayat Bukhari).

Selain itu, melakukan azan mempunyai beberapa kelebihan dan mendapat pahala besar. Ia berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW bermaksud: “Kalaulah orang ramai mengetahui pahala yang ada dalam azan dan pahala dalam barisan pertama sembahyang, kemudian mereka tidak ada jalan selain membuat undian untuk mendapatnya, nescaya mereka akan masuk undian itu.” (Riwayat Muttafaq `Alayh) Rasulullah juga bersabda bermaksud: “Jika kamu berada bersama-sama dengan kambing kamu atau di kebun kamu dan engkau berazan untuk sembahyang. Hendaklah engkau angkatkan suara menyeru orang bersembahyang, sebab suara orang yang azan tidak didengar oleh jin atau manusia ataupun sesuatu kecuali dia menyaksikan baginya pada Hari Akhirat.” (Riwayat Bukhari) Dalam sebuah hadis lain ada disebut: “Tukang azan adalah orang yang paling panjang leher pada hari akhirat.” (Riwayat Muslim, Ahmad dan Ibnu Majah) Menurut pendapat yang sahih daripada ulama Syafie dan Hanbali, azan berserta iqamah adalah lebih baik daripada menjadi imam. Ini disebabkan Allah berfirman bermaksud: “Siapakah yang lebih bagus perkataannya daripada orang yang berdoa kepada Allah dan beramal salih.” (Surah Fussilat, ayat 33). Saidatina Aisyah berkata: “Mereka yang dimaksudkan oleh ayat itu ialah tukang azan”. Dalam hadis lain ada juga menyebut: “Imam adalah bertanggungjawab (damin), tukang azan adalah orang yang dipercayai (amanah). Ya Allah, berilah petunjuk kepada imiam-imam dan ampunilah tukang azan”. (Riwayat Syafie, Ahmad, Abu Dawd, at-Tirmizi, An-Nasa’i, Ibnu Hibban dan Ibnu Khuzaimah) Amanah lebih tinggi daripada damin dan keampunan adalah lebih tinggi daripada petunjuk. Nabi Muhammad dan khalifah tidak melakukan tugas azan ini kerana mereka tidak mempunyai banyak masa.


wallahualam...(^-^)